ZOO MELAKA

Sunday 18 November 2012

MORFOLOGI


Pengenalan

Morfologi imerupakan satu bidang yang mengkaji tahap gramatik sesuatu perkataan, iaitu berkemungkinan terdapat beberapa  perubahan kata, golongan kata dan makna kata akibat perubahan bentuk kata. Proses perubahan yang berlaku boleh disebabkan oleh perubahan susunan dan turut merubah bentuk bunyi yang dikeluarkan.Struktur kata bermaksud susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan. Pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi, atau bentuk dan fungsinya.   
Kesimpulannya dapat kita fahami bahawa morfologi bahasa Melayu ialah bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata dalam Bahasa Melayu dengan merujuk kepada beberpa perubahan dalam bahasa.

Konsep Pembentukan Kata
Kefahaman tentang  istilah linguistik, pembentukan kata ialah satu proses yang mana perkataan baru dibentuk. Proses pembentukan kata menerangkan bagaimana sesuatu kata itu dibina dan dibentuk sehingga dapat menghasilkan ayat dan ujaran dalam sesuatu bahasa dan dapat memberi  kefahaman tentang apa yang dinyatakan dengan jelas dan tiada prejudis, Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa di dunia yang bersifat algunatif atau derivatif.jenis bahasa yang sedemikian membentuk kebanyakan perkataannya melalui proses pengimbuhan atau penggabungan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan secara rentetan mendatar iaitu imbuhan digabungkan serentak dengan kata dasar, sama ada imbuhan itu mnedahului (awalan), menyisipi (sisipan) atau mengikuti (akhiran) kata dasar tersebut.
            Kaedah pembentukan kata seperti yang terdapat dalam bahasa Melayu ini tidak sama dengan pembentukan kata dalam bahasa yang bersifat fleksi seperti bahasa Arab. Hal ini demikian kerana, dalam bahasa Arab, cara membentuk dan mewujudkan perkataan adalah melalui kejadian perubahan fonem atau bunyi kata dasar bahasa itu sendiri, iaitu berdasarkan golongan kataatau kasusnya.
Secara umumnya, perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu wujud melalui dua sumber, iaitu melalui asal usul bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa Melayu berasal rumpun bahasa Austronesia dan melalui sumber yang diwarisi itu, sejumlah perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu telah diwujudkan sehingga hari ini. Kedua, perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu juga wujud melalui proses-proses tertentu seperti akronim, analogi, peleburan fonem, peluasan makna, pemberian makna khusus, peminjaman kata, penambahan, penciptaan , penggemblengan, penyempitan makna, dan penyingkatan.
            Perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu ada yang berbentuk tunggal, terbitan, majmuk dan gandaan. Setiap bentuk tersebut mempunyai cara pengejaannya yang tersendiri serta membawa makna yang khusus sebagai rujukan. Dalam struktur ayat, kesemua perkataan tidak boleh ditukar ganti kehadirannya dalam ayat kerana setiap bentuk perkataan itu berbeza dari segi makna dan mempunyai fungsi yang berbeza.

Proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu  
Sebagaimana yang telah dinyatakan pada tajuk 1.0 iaitu Konsep Pembentukan Kata, terdapat beberapa proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Proses-proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu adalah seperti berikut :
Akronim
Pembentukan kata melalui proses akronim adalah dengan cara memendekkan atau meringkaskan perkataan yang kebanyakkanya terdiri daripada kata nama supaya mudah ditulis dan dilafazkan sebagai satu kata yang wajar. Contohnya:
i.  JAIS – Jabatan Agama Islam Selangor
ii. IPTI – Institut Perguruan Temenggong Ibrahim
iii. IPG – Institut Pendidikan Guru



Analogi
Pembentukan kata melalui proses ini adalah dengan mengiaskan kata baharu dengan bentuk kata yang telah sedia ada yang telah digunakan sejak dahulu.Misalnya, perkataan tatabahasa memang telah sedia ada dan melalui proses analogi, diciptakan pula bentuk-bentuk seperti tatatertib, tatacara dan tatahias. Contoh lain :
i.  Prasangka – prasarana, prasekolah, prauniversiti
ii.Jurunikah – juruwang, juruaudit, juruacara

Peleburan Fonem
Proses peleburan fonem adalah satu proses yang berlaku dengan cara menggabungkan perkataan agar menjadi satu kata dengan meleburkan atau menggugurkan fonem-fonem tertentu. Contohnya:
i.  [benda] +[alir] = [bendalir]
Dalam contoh yang diberikan, perkataan [bendalir] terbentuk setelah satu fonem vokal /a/ digugurkan.
Peluasan Makna
Pembentukan perkataan dengan cara ini adalah dengan mengambil kata-kata yang telah sedia ada dan kemudiannya diperluaskan maknanya dalam hal-hal lain. Contohnya, perkataan [family] dalam bahasa Inggeris bermakna ‘keluarga’, tetapi perkataan ini telah diperluaskan maknanya menjadi  [famili] yang bukan sahaja merujuk kepada manusia, malahan kepada haiwan juga.
Pemberian Makna Khusus
Dalam proses ini sesuatu perkataan atau istilah itu dibentuk dengan cara mengambil kata-kata yang telah sedia ada lalu diberi makna khusus atau dijadikan istilah. Contohnya perkataan [sirih] pada asalnya bermaksud bekas atau kesan yang dilalui sesuatu seperti jalan yang dilalui oleh siput di atas daun pisang. Melalui pemberian makna khusus, [surih] membawa maksu meniru atau melukis peta.
Peminjaman Kata
Pembentukan kata melalui proses ini sangat luas digunakan dalam bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain. Bahasa Melayu banyak meminjam perkataan daripada bahasa Inggeris dan bahasa Arab sehingga  perkataan tersebut menjadi sebati dengan penutur bahasa Melayu itu sendiri. Proses ini berlaku dalam sesuatu bahasa disebabkan dalam bahasa tersebut tidak terdapat perkataan atau istilah sedemikian. Contohnya :
i.Element – elemen
ii.Magistrate – majistret
iii.Diplomat – diplomat
2.1.7     Penambahan
Pembentukan kata melalui proses ini adalah dengan memberikan penambahan kepada kata akar satu suku kata dengan perkataan lain yang terdiri daripada satu suku kata juga. Bentuk kata jenis ini telah sebati dalam masyarakat penutur bahasa Melayu. Contohnya, kata akar [bu] merujuk kepada benda-benda yang berbentuk bulat kemudian ditambah pula satu suku kata yang lain untuk menunjukkan benda-benda tertentu yang berbentuk bulat seperti berikut :
i.   [bu] + [kit] = [bukit]
ii.[bu] + [lan[ = [bulan]
iii. [bu] + [luh] = [buluh]
Penciptaan
Pembentukan kata melalui proses penciptaan bermaksud kata-kata baharu dicipta atau dihasilkan tanpa disandarkan kepada pembendaharaan kata yang sedia ada. Dalam proses ini, perkataan ini diciptakan berdasarkan makna yang ditimbulkan oleh masyarakat atau yang dikiaskan kepada sesuatu benda. Misalnya, nama kiwi merijuk kepada nama burung di New Zealand. Daripada perkataan tersebut tercipta pula perkataan mengiwi yang bermaksud perbuatan menggilap dan mengilatkan kasut menggunakan bahan khas.


Penggemblengan
Perkataan yang dibentuk melalui proses penggemblengan adalah dengan cara menggabungkan dua patah perkataan atau lebih, di samping mneggugurkan bahagian yang lain daripada perkataan tersebut. Contonhya, penggembemlengan perkataan kumpulan gitar rancak menjadi kugiran. Pembentukan kata ini masih dilakukan sehingga hari ini seperti contoh yang berikut :
i.    Bernama – Berita Nasional Malaysia
ii.  Proton – Perusahaan Otomobil Nasional

Penyempitan Makna
Pembentukan kata melalui proses ini dilakukan dengan cara mengambil kata yang telah sedia ada, dan kemudiannya disempitkan maknanya untuk merujuk kepada sesuatu yang lebih umum. Contohnya, perkataan tuan puteri mempunyai makna yang khusus, iaitu panggilan bagi wanita bangsawan atau wanita berketurunan raja. Sebaliknya, pada hari ini terdapat perkataan tuan sahaja yang merujuk kepada orang lelaki yang patut dihormati. Malahan, jika panggilan ini digunakan dalam urusan surat-menyurat rasmi, ia boleh merujuk kepada panggilan hormat bagi lelaki dan perempuan.
Penyingkatan
Melalui proses penyingkatan, perkataan-perkataan tertentu dipendekkan apabila ditulis dan sering pula dianggap sebagai satu perkataan sahaja seperti contoh yang berikut :
i.  tv – televisyen
ii.Dr. – doktor
iii. Prof – profesor
Proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu boleh dilihat dari segi bentuk-bentuk kata yang terhasil seperti bentuk kata tunggal, bentuk kata terbitan, bentuk kata majmuk, dan bentuk kata gandaan.  Seterusnya, kita boleh lihat proses pembentukan kata berdasarkan bentuk-bentuk kata yang berikut :
a.  Bentuk kata tunggal
        Perkataan yang berada dalam bentuk kata tunggal ialah perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan perangkaian. Terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal, iaitu kata tunggal yang mengandungi hanya satu suku kata dan kata tunggal yang mengandungi dua suku kata atau lebih. Jadual di bawah menunjukkan antara pola gabungan konsonan-vokal dalam kata tunggal bahasa Melayu beserta contoh perkataan :

Bentuk Kata Tunggal
(Pola suku kata beserta contoh perkataan)

Bil

Satu Suku Kata

Dua Suku Kata

Tiga suku kata

Empat suku kata dan lebih
1.    
i) KV – yu
ii) V+K – aku  
iii) KV+V+KV-cuaca
 iv) KV+KV+VK+KV-keluarga
2
.    i) VK – am
ii) V+VK – aib
iii)KV+V+KVK-biawak 
iv) KV+KVK+KV+KV-sementara
3.    
i)KVK – cat
ii)V+KVK – adik
iii)V+KV+V-usia
 iv) KVK+KV+V+KV-bendahari
4.    
i)KKVK – stor
ii) VK+KV – undi
iii) KV+KV+V-deria
iv) KV+KV+KV+KV-bidadari
5.    
i) KVKK – teks
ii) VK+KVK – ambil
iii) KVK+KV+V-mentua
iv) KV+KV+KV+KVK-kapitalis
6.    
i) KKKV – skru
ii)KV+V – doa
iii) KV+KV+VK-seluar
iv) KVK+KV+KV+KVK-sentimeter
7.    
i) KKKVK – skrip
ii) KV+VK – jauh
iii) V+KV+KV-ijazah
iv) KVK+KVK+KV+KV-dispensari
8.    
i) KKKVK –spring*
ii) KV+KV – pasu
iii)KV+KV+KV-keliru
iv) KV+KV+V+KVK-mesyuarat

9.
             -
ii) KV+KVK – telur
iii) VK+KV+VK-ikhtiar
iv) V+KV+KVK+KV+KV-universiti
10.
             -
 ii) KVK+KV – lampu
iii)V+KV+VK-elaun

iv) KVK+KV+KV+KV+KVK- cenderawasih
                        Jadual 1         
            *Bentuk ng seperti yang terdapat dalam perkataan spring, jong dan wang            sebenarnya mewakili satu bunyi fonetik yang berlambang  [ᵑ] .
Jadual 1 menunjukkan contoh perkatan berdasarkan pola suku kata yang terdiri daripada jenis kata tunggal.Selain perkataan di atas, akronim juga tergolong dalam kata tunggal. Contohnya ABIM, IKIM, dan ADUN. Penjelasan lebih lanjut akan dihuraikan dalam tajuk 2.0 iaitu Proses Pembentukan Akronim.

b.  Bentuk kata terbitan
        Kata terbitan ialah bentuk perkataan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan, iaitu proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Jadual di bawah menunjukkan antara kata terbitan yang terhasil melalui proses pengimbuhan berserta contoh perkataan :
Bentuk Kata Terbitan
Bil.

Jenis imbuhan            Awalan
Kata nama
Akhiran
Kata nama
Apitan
Kata nama
Sisipan

1.  Kata nama
pe-pelari, pem-pembuat
-an-pakaian
-wati-seniwati
, pe-..-an – perasaan
-el- telunjuk


2. Kata kerja


me-melawan, di-diatur

-kan-buatkan, -di-duduki

me-…-kan – memainkan

-er- gerodak


3.  Kata adjektif


ter-terbesar, se-secantik

-an – pipian,
-i - tangani

ke-…-an – keakraban

-el- gelegak

-
c.  Bentuk kata majmuk
       Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsure lain. Jadual di bawah menunjukkan antara contoh kata majmuk yang terhasil berdasarkan tiga kelompok :



Bentuk Kata Majmuk

Bil.

Rangkaian kata bebas

Istilah khusus

Kiasan

1

gambar rajah

Perdana Menteri

hak milik

2

alat tulis

Raja Muda

batu kapur

3

air hujan

Maib Canselor

daerah panas

4

nasi minyak
Timbalan Ketua Pustakawan

atur cara

d.  Bentuk kata gandaan
 Bentuk penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang menggandakan kata dasar. Dalam proses yang demikian, kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh atau penggandaan separa. Penggandaan juga boleh berlaku secara berentak, iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu. . Jadual di bawah menunjukkan antara contoh kata gandaan yang dibahagikan mengikut tiga jenis penggandaan berikut :
Bentuk Kata Gandaan
(berserta contoh perkataan)
Bil.
Penggandaan Penuh
Penggandaan Separa
Penggandaan Berentak
1 Kata tunggal
Meja-meja, ayat-ayat
Laki-lelaki, tikus-tetikus
Kuih-muih,cerai-berai
2 Kata berimbuhan

Awalan-pelatih-pelatih
Akhiran-amalan-amalan
Apitan
-persatuan-persatuan
Awalan-berlari-lari
Akhiran-sayur-sayuran
Apitan-kekuning-kuningan

Pengulangan konsonan
Batu-batan, gunung, ganang, dolak-dalik

3 Bebas
Anak-pinak, ulang-alik, lintang-pukang
 Jadual 4

Pembentukan kata melalui proses pinjaman kata sangat luas digunakan dalam bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain. Bahasa Melayu banyak meminjam perkataan daripada bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Sanskrit sehingga  perkataan tersebut menjadi sebati dengan penutur bahasa Melayu itu sendiri. Proses ini berlaku dalam sesuatu bahasa disebabkan dalam bahasa tersebut tidak terdapat perkataan atau istilah sedemikian.
Umumnya, dalam bahasa Melayu terdapat unsur-unsur imbuhan daripada bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Sanskrit yang dapat membolehkan kita membezakan antara kata asli bahasa Melayu dengan kata pinjaman. Dalam Petikan Kursus Penataran Bahasa untuk Penyiar serta Petikan Pertandingan Sahibba Meningkatkan Penguasaan dan Pengembangan Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar  terdapat beberapa perkataan pinjaman yang digunakan.  Setelah dianalisis, penggunaan kata pinjaman dalam petikan ini melibatkan peminjaman unsur asing dari segi aspek peminjaman tulen, bunyi-bunyi asing, dan peminjaman imbuhan.
Jadual di bawah menunjukkan perkataan pinjaman yang digunakan dalam Petikan Kursus Penataran Bahasa untuk Penyiar serta Petikan Pertandingan Sahibba Meningkatkan Penguasaan dan Pengembangan Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar:
Kata Pinjaman dalam Petikan Kursus Penataran Bahasa untuk Penyiar serta Petikan Pertandingan Sahibba Meningkatkan Penguasaan dan Pengembangan Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar
Bil.

Aspek/unsur peminjaman
Contoh perkataan dalam petikan.
1 Bahasa Inggeris
(Peminjaman tulen)

- auditorium-    radio   - serius       -aspek-      - sesi      - input   - kreatif       -kategori       -unit      - kokurikulum       -aktiviti     - program
2 Bahasa arab dan parsi
(Peminjaman bunyi-bunyi asing)
-   /sy/ ;syarikat
-  /kh/ ;khusus

3 Bahasa Sanskrit
(Peminjaman imbuhan)
-  tata - ;tatabahasa

Jadual 5


      Proses pembentukan akronim

Akronim pada asasnya terbentuk daripada proses penggabungan singkatan beberapa perkataan dan membentuk satu perkataan yang utuh. Menurut Kamus Tatabahasa Dewan ( 2008: 66 ) menyatakan akronim boleh terbentuk menggabungkan huruf awal suku kata atau dengan menggabungkan huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata dan kemudiannya dilafazkan menjadi seperti perkataan.
Menurut Asmah Haji Omar, akronim merupakan singkatan yang terhasil daripada penggabungan daripada huruf-huruf atau suku-suku kata dalam urutan dua kata atau lebih. Menurut Asmah Haji Omar lagi, akronim terdiri daripada kata selapis dan boleh mengalami proses morfologi sebagaimana kata selapis.
Pembentukan kata melalui proses akronim adalah dengan cara memendekkan atau meringkaskan perkataan yang kebanyakkanya terdiri daripada kata nama supaya mudah ditulis dan dilafazkan sebagai satu kata yang wajar. Akronim adalah kata yang berbentuk kata nama tunggal dan dihasilkan melalui percantuman bahagian-bahagian daripada serangkaian perkataan. Bahagian-bahagian perkataan itu boleh terdiri daripada huruf, suku kata, atau bahagian daripada perkataan.
a.Jenis-jenis akronim                     
 Berdasarkan cara percantuman bahagian-bahagian perkataan itu, kata nama akronim boleh dibahagikan kepada sekurang-kurangnya empat jenis.
(Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, hashim haji Musa, dan Abdul Hamid Mahmood, Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 105.)
Antara jenis  akronim tersebut ialah seperti berikut :
  i.        Kata nama akronim cantuman hurup awal perkataan
Kata nama akronim jenis ini dibentuk melalui percantuman huruf awal beberapa perkataan kebanyakkanya terdiri daripada nama khas ; oleh itu, dieja dengan huruf besar keseluruhannya. Contohnya :
ADUN – Ahli Dewan Undangan Negeri
IPTI – Institut Perguruan Temenggong Ibrah
         ii.        Kata nama akronim cantuman huruf dan suku kata perkataan
Kata nama akronim jenis ini dibentuk melalui percantuman huruf dan suku kata sejumlah perkataan. Kata nama akronim jenis ini juga membentuk kata nama khas ; oleh itu ejaannya bermula dengan huruf besar. Contohnya :
Perhilitan    – Perlindungan Hidupan Liar dan Taman     Negara
Mara            – Majlis Amanah Rakyat

           iii.        Kata nama akronim cantuman suku kata awal perkataan
Kata nama akronim jenis ini dibentuk melaluli percantuman suku kata awal sejumlah perkataan. Jikalau yang terbentuk itu kata nama khas, ejaanya bermula dengan huruf besar. Contohnya :
            Bernama – Berita Nasional Malaysia
            tadika – taman didikan kanak-kanak
            cerpen – cerita pendek

          iv.        Kata nama akronim cantuman bahagian awal perkataan pertama dengan bahagian lain perkataan yang mengikutinya.
Kata nama akronim jenis ini dibentuk melalui huruf atau suku kata perkataan pertama dengan bahagian bukan awal perkataan yang lain. Contohnya :
            asbut – asap kabut,   debunga – debu bunga ,  purata – pukul rata

           


Rumusan               

 Bidang Morfologi merupakan aspek penting dalam tatabahasa Bahasa Melayu. Aspek-aspek morfologi perlu diambil kira dalam menentukan tahap penggunaan perkataan yang tepat dan sesuai dalam menghasilkan perkataan. Tatabahasa pula ialah perkara asas bagi sesuatu bahasa. Morfologi memfokuskan kajian terhadap perkataan dalam bahasa Melayu yang telah mengalami perkembangan yang pesat, terutamanya dalam bidang kosa kata  atau pembendaharaan kata yang melibatkan perubahan bentuk-bentuk kata.
Dari segi pembentukan kata pula, kemunculan bunyi-bunyi baharu serta bentuk imbuhan baharu dalam bahasa melayu menyebabkan berlakunya pembentukan kata baharu dalam bahasa Melayu. Hasil daripada perkembangan ilmu dan ikhtisas tertentu, imbuhan yang berstatus imbuhan pada asalnya tidak dianggap imbuhan kerana keperluan mengayakan perbendaharaan perkataan bahasa Melayu bagi mendukung istilah-istilah tertentu.
Melalui proses perancangan dan pembinaan bahasa yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka proses pembentukan kata menjadi tersusun dan terarah. Oleh hal inilah, begitu banyak perkataan baharu terbentuk  dari semasa ke semasa. Perubahan makna dan sifat sesuatu perkataan adakalanya mengikut selera masyarakat yang telah terbiasa dengan penggunaan perkataan tertentu.Tahap penerimaan dan keserasian adakalanya menengelamkan  ilmu tatabahasa dalam Bahasa Melayu itu sendiri.






Proses Pembentukkan Perkataan dalam Bahasa Malaysia: Pemajmukkan Dan Derivasi

DATA DAN ANALISIS

Kajian ini menganalisa data bahasa Melayu dari tahap bahasa bertulis yang formal. Data diperolehi daripada majalah Impiana (keluaran Januari 2004, volume 9, edisi 53), sebuah majalah tata hias luar dan dalam kediaman, kedai dan bangunan. Rata-rata pembaca majalah ini adalah golongan kelas profesional dan kelas pertengahan dari segi sosio-ekonomi. Rencana-rencana yang ditulis di dalam majalah ini adalah berkaitan pemilihan stail, warna dan tema tata hias, dan kebanyakannya penerangan berkaitan tata hias kediaman peribadi.

Proses pembentukkan perkataan dianalisis, iaitu proses Pemajmukkan dan Derivasi, dua proses yang paling biasa dalam pembentukan perkataan Bahasa Melayu.



PROSES PEMBENTUKAN PERKATAAN

Bahasa Melayu sedang melalui perubahan yang pesat, terutamanya dari segi perkembangan leksikonnya. Terdapat pelbagai proses dalaman pembentukan perkataan dalam Bahasa Melayu, contohnya derivasi, pemajmukan, akronim dan penggandaan. Antara proses pembentukan perkataan yang paling utama dalam Bahasa Melayu adalah Pemajmukan dan Derivasi.



1.   Pemajmukan

Pemajmukan adalah proses pembentukan perkataan di mana dua atau lebih kata akar dimajmukkan menjadi satu item leksikal. Dalam Bahasa Melayu, dua atau lebih kata akar yang membentuk satu item leksikal ini biasanya ditulis berasingan, mengikut kata akar yang asal. Contohnya, “hijau” dan “gelap” adalah masing-masing satu kata akar. Jika dimajmukkan, ia akan menjadi satu item leksikal “hijau gelap”, iaitu sejenis tona hijau.

Pemajmukan dalam Bahasa Melayu boleh diklasifikasikan mengikut kelas perkataan kata akar dan perhubungan sintaktik di antara kata akar (berdasarkan Jackson dan Zé Amvela, 2000). Pengklasifikasi mengikut kelas perkataan adalah tidak berkaitan dengan perhubungan sintaktik di antara kata akar-kata akar ini. Secara kasarnya, dalam bidang tata hias berbahasa Melayu, kata akar yang pertama menentukan kelas kata majmuk. Berikut adalah contoh kata majmuk mengikut kelas perkataan:



Contoh 1.1 : Kata majmuk Kata Nama

KN + KN               riak muka
KN + KN               kamar utama
KN + KN               panel tingkap
KN + KN               sistem pencahayaan
KN + KN               pelan lantai
KN + KN               kertas dinding
KN + KK (Kata Kerja)      lampu berjurai
KN + KK               tata hias
KN + KK               tata atur
KN + KK               kamar beradu
KN + KK               istana hinggap
KN + KK               seni bina
KN + KK + KN     seni hias taman
KN + KK + KN + KN          seni reka bentuk dalaman
KN + ADJ (Adjektif)        warna selamat
KN + ADJ             kulit depan
KN + ADJ             dapur kering
KN + ADJ             dapur basah
KN + ADJ             latar belakang


Dalam proses pemajmukan KN, sesuatu KN itu boleh dimajmukkan dengan KN yang lain, KK dan ADJ untuk membentuk kata majmuk KN. Kita dapat lihat dalam contoh di atas (contoh 1.1) bahawa kata akar pertama, iaitu KN, menentukan kelas perkataan kata majmuk berkenaan.



Contoh 1.2 : Kata majmuk Kata Kerja

KK + KN               merekabentuk
KK + KN               dibaikpulih
KK + KN               memukau mata
KK + KN               mencuit rasa
KK + KN               merentas sempadan
KK + KK                meluru terus
KK + KK                menata hias
KK + KK                ubah suai
KK + ADJ              meletup lantang


Dalam proses pemajmukan KK pula, sesuatu KK itu boleh dimajmukkan dengan KK yang lain, KN dan juga ADJ untuk membentuk kata majmuk KK. Walau bagaimanapun pemajmukan dengan ADJ adalah agak jarang. Secara amnya, boleh dikatakan dalam bidang tata hias, lazimnya KK dimajmukkan dengan KK lain dan KN bagi menbentuk kata majmuk.



Contoh 1.3 : Kata majmuk Adjektif

ADJ + KN             putih salju
ADJ + KN             hijau orkid
ADJ + KN             hijau zaitun
ADJ + KN             perang bata
ADJ + KN             pudar kapur
ADJ + KN             putih gading
ADJ + KN             perang tembaga
ADJ + KN + KN  hijau kem askar
ADJ + KN + KN  perang gula melaka
ADJ + KN + KN  perang pasir gurun
ADJ + KN + KN  jingga bara api
ADJ + KK              mampu milik
ADJ + ADJ           luar biasa
ADJ + ADJ           hijau muda
ADJ + ADJ           perang gelap
ADJ + ADJ           perang terang
ADJ + ADJ           putih kuning


Dalam proses pemajmukan ADJ, sesuatu ADJ boleh dimajmukkan dengan ADJ lain, KN dan KK. Pemajmukkan ADJ dengan KK adalah agak jarang dalam bidang tata hias. Lazimnya, terutamanya dalam penamaan tona-tona warna, ADJ dimajmukkan dengan KN dan ADJ lain.

Selain daripada contoh 1.1, 1.2 dan 1.3 yang diberikan, terdapat juga kata majmuk dalam Bahasa Melayu di mana kelas katanya ditentukan oleh kata akar yang kedua. Contoh bagi jenis kata majmuk ini adalah seperti berikut:



Contoh 1.4

KN + ADJ = ADJ padanan sekata
KN + ADJ = ADJ cahaya kabut
KK + KN = KN     tunjuk langit
KK + ADJ = ADJ garis beralun
KK + ADJ = ADJ garis kemas
KK + ADJ = ADJ garis lengkung
KK + ADJ = ADJ garis tajam


Kita dapat lihat bahawa kata akar kedua menentukan kelas kata majmuk yang dibentuk. Di sini ia berlaku apabila ADJ diletakkan sebagai kata akar kedua, dan KN atau KK sebagai kata akar pertama.

Terdapat juga kata majmuk yang terbentuk daripada kata akar yang terdiri daripada kelas perkataan yang berlainan dan menghasilkan satu kata majmuk kelas perkataan yang baru. Antara contohnya adalah seperti berikut:



Contoh 1.5

KK + KK = ADJ    semula jadi
KB (Kata Bantu) + KN = ADJ        boleh laras


Di sini, kita dapat lihat KK “semula” dan “jadi” bila dimajmukkan menghasilkan kelas kata majmuk ADJ “semula jadi”. Pemajmukkan KB “boleh” dan KN “laras” pula menghasilkan kelas kata majmuk ADJ “boleh laras”. Kata majmuk “boleh laras” satu-satunya kata majmuk ADJ yang diperolehi dari data yang terdapat KB sebagai salah satu kata akarnya.

Selain daripada perhubungan di antara kata akar mengikut kelas perkataan, terdapat juga perhubungan kata akar dari segi sintaktik. Terdapat dua jenis perhubungan sintaktik, iaitu endocentric dan exocentric. Endocentric terbahagi kepada dua, iaitu ko-ordinat, di mana kata majmuk di mana kedua-dua (atau lebih) kata akar adalah penting, dan subordinat, di mana hanya salah satu kata akarnya adalah penting. Exocentric pula adalah di mana kedua-dua (atau lebih) kata akarnya adalah penting untuk mempunyai makna; masing-masing kata akar itu tidak berkaitan dengan makna kata majmuknya jika hanya digunakan bersendirian (Asha Doshi, 2004; Jackson dan Zé Amvela, 2000).

Data yang diperolehi tiada menunjukkan endocentric ko-ordinat dalam konteks tata hias Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, endocentric subordinat adalah sangat biasa, terutamanya apabila melibatkan warna, seperti “putih gading” (putih seperti gading gajah) dan “perang tembaga” (perang seperti tembaga). Contoh lain adalah seperti “garis beralun” (garis yang di lukis beralun). Contoh exocentric pula adalah “tunjuk langit” (pacang yang dipasang di atas bumbung untuk mengalirkan arus kilat ke bumi), “mampu milik” (sesuatu yang mampu dimiliki) dan “tata hias” (perihal cara dan kod seni hias dalaman).

Secara ringkasnya, kita dapat lihat bahawa pemajmukan adalah proses yang biasa dalam pembentukan perkataan dalam konteks tata hias dalam Bahasa Melayu. Pemajmukan adalah biasa kerana ia adalah jalan pintas bagi menyatakan maksud yang agak panjang (Jackson dan Zé Amvela, 2000), seperti yang kita dapat lihat dalam contoh kata majmuk “tunjuk langit” di atas.



2.   Derivasi

Derivasi adalah proses pembentukan perkataan di mana imbuhan ditambah pada kata akar bagi menghasilkan perkataan baru. Ringkasnya, proses derivasi menambah imbuhan kepada kata akar yang wujud dalam sesuatu bahasa dan menghasilkan variasi tata bahasa kata akar tersebut. Terdapat dua jenis derivasi, iaitu derivasi bertukar kelas kata dan tidak bertukar kelas kata (Asha Doshi, 2004; Jackson dan Zé Amvela, 2000).

Dalam Bahasa Melayu amnya, terdapat beberapa jenis imbuhan yang terlibat dalam derivasi, iaitu imbuhan awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Dalam bidang tata hias, imbuhan derivasi yang paling biasa adalah imbuhan awalan, akhiran dan apitan.



2.1       Derivasi Bertukar Kelas Kata

Imbuhan bagi derivasi bertukar kelas kata menyebabkan sesuatu kata akar bertukar kepada kelas perkataan yang lain. Di sini, imbuhan itu menentukan kelas perkataan kata akar terbabit. Sebagai contoh, KN boleh dihasilkan daripada imbuhan yang ditambah kepada KK atau ADJ, KK daripada KN atau ADJ, dan ADJ daripada KN atau KK. Berikut adalah contoh derivasi KN yang berkaitan dengan bidang tata hias:



Contoh 2.1.1 : Derivasi Kata Nama

Kata Kerja           Imbuhan Awalan             Kata Nama
lukis       pe          pelukis
reka       pe          pereka
milik      pe          pemilik
pulas     pe          pemulas


Adjektif               Imbuhan Awalan             Kata Nama
sudah   pe          penyudah


Kita dapat lihat di sini bahawa imbuhan awalan seperti “pe” menukarkan kelas kata KK dan ADJ masing-masing kepada KN. KK dan ADJ yang ditambah “pe” memberi makna orang atau benda yang melakukan atau menjadi KK dan ADJ tersebut, seperti “pelukis” adalah orang yang melukis, dan “penyudah” adalah benda yang menyudahkan (dalam kes ini, kemasan penyudah). Seperti yang ditunjukkan oleh contoh di atas, kita dapati bagi imbuhan awalan “pe”, jika huruf pangkal kata akar terbabit adalah “p” atau “s”, huruf berkenaan akan digugurkan. Bagi huruf pangkal “p”, “p” itu digugurkan dan diganti dengan “m” dan bagi huruf pangkal “s”, “s” itu digugurkan dan diganti dengan “ny”. Ini mungkin kerana asimilasi bunyi yang berlaku pada kata akar tersebut bila ditambah imbuhan “pe” (Baskaran, 2003).



Kata Kerja           Imbuhan Akhiran            Kata Nama
jatuh     an           jatuhan
reka       an           rekaan
lakar      an           lakaran
bangun                an           bangunan
bina       an           binaan
sentuh an           sentuhan
bahagi  an           bahagian
bias        an           biasan


Adjektif               Imbuhan Akhiran            Kata Nama
kemas  an           kemasan
kilau      an           kilauan
dalam   an           dalaman
padan   an           padanan


Contoh di atas menunjukkan bahawa imbuhan akhiran “an” menukarkan KK dan ADJ kepada KN. Pada KK, penambahan “an” membawa maksud objek atau perkara yang terhasil daripada KK tersebut, seperti “lakaran” adalah hasil daripada perbuatan “lakar”. Pada ADJ pula, imbuhan “an” menunjukkan KN tersebut mempunyai ciri ADJ terbabit, seperti “padanan” adalah sesuatu yang “padan”.



Kata Kerja           Imbuhan Apitan              Kata Nama
diam      ke – an kediaman
bina       pem – an            pembinaan
niaga     per – an               perniagaan
langgan                pe – an pelanggan


Adjektif               Imbuhan Apitan              Kata Nama
merah  ke – an kemerahan
hitam    ke – an kehitaman
lengkap               ke – an kelengkapan
lega       ke – an kelegaan
luas        ke – an keluasan
lain         ke – an kelainan


Berdasarkan contoh di atas, imbuhan apitan juga boleh menukarkan kelas kata KK dan ADJ kepada KN. Imbuhan apitan yang menukarkan KK kepada KN adalah “ke-an”, “pem-an” (bagi huruf pangkal “b” pada kata akar), “per-an” (bagi huruf pangkal “n” pada kata akar) dan “pe-an” (bagi huruf pangkal “l” pada kata akar). Ia membawa maksud objek atau perkara yang terhasil dari KK berkenaan. Contohnya, “kediaman” adalah tempat yang orang diami. Bagi ADJ pula, penambahan “ke-an” adalah yang paling biasa. Ia membawa maksud KN berkenaan mempunyai ciri-ciri ADJ tersebut. Contohnya, “kemerahan” mempunyai ciri warna merah dan “kelegaan’ mempunyai ciri perasaan lega.

Derivasi KK pula adalah derivasi menggunakan imbuhan untuk membentuk KK dari kata akar KN atau ADJ. Contoh derivasi KK adalah:



Contoh 2.1.2 : Derivasi Kata Kerja

Kata Nama         Imbuhan Awalan             Kata Kerja
reka bentuk       me         mereka bentuk
titik berat            me         menitikberat
tata hias              me         menata hias


Adjektif               Imbuhan Awalan             Kata Kerja
panas    me         memanas
sejuk     me         menyejuk


Contoh di atas menunjukkan bahawa dalam menukarkan kelas perkataan KN dan ADJ kepada KK, imbuhan awalan “me” adalah paling lazim digunakan. Dalam KN, imbuhan “me” digunakan dalam ayat aktif, iaitu subjek melakukan kata majmuk KK tersebut. Di sini, kita dapat lihat juga jika huruf pangkalnya “t”, ia akan digugurkan dan diganti dengan “n”. Pada ADJ pula, imbuhan juga digunakan dalam ayat aktif, iaitu subjek melakukan sesuatu supaya benda yang dibuat itu mempunyai ciri-ciri ADJ tersebut, seperti “memanas ruang dengan menggunakan warna terang”. Sebagai mana imbuhan “pe”, imbuhan “me” juga menyebabkan huruf pangkal “p” dan “s” akan digugurkan dan digantikan dengan “m” (bagi “p”) dan “ny” (bagi “s”).



Kata Nama         Imbuhan Akhiran            Kata Kerja
sempurna           kan        sempurnakan
warna   kan        warnakan


Adjektif               Imbuhan Akhiran            Kata Kerja
padan   kan        padankan
suai        kan        suaikan


Bagi imbuhan akhiran, data menunjukkan imbuhan “kan” adalah yang paling biasa digunakan untuk menukarkan KN dan ADJ kepada KK. Dalam KN dan ADJ yang ditambahan “kan” biasanya digunakan dalam ayat imperatif, iaitu subjek perlu melakukan KK berkenaan supaya hasilnya bercirikan KN atau ADJ terbabit. Contohnya “padankan perabot dengan aksesori supaya sesuai”.



Kata Nama         Imbuhan Apitan              Kata Kerja
hasil       meng – kan        menghasilkan
lampis   me – kan             melampiskan
saksi      me – kan             menyaksikan
ilham     di – kan                diilhamkan
latar belakang   ber – kan            berlatarbelakangkan


Adjektif               Imbuhan Apitan              Kata Kerja
hidup    meng – kan        menghidupkan
sempit  me – kan             menyempitkan
kuat       me – kan             menguatkan
lembut me – kan             melembutkan
lengkap               me – i   melengkapi
padan   di – kan                dipadankan


Contoh di atas menunjukkan imbuhan apitan digunakan untuk menukarkan kelas perkataan KN dan ADJ. Seperti imbuhan awalan “me”, “meng-kan”, “men-kan”, “me-kan” dan “me-i” digunakan dalam ayat aktif. Imbuhan apitan “ber-kan” juga digunakan dalam struktur ayat yang sama. Imbuhan “di-kan” pula digunakan dalam ayat pasif, di mana fokus ayat adalah objek dalam ayat aktif. Di sini kita dapat lihat, pada kata majmuk, apabila ditambah imbuhan apitan, kata-kata akarnya akan ditulis sebagai satu perkataan. Huruf pangkal juga digugurkan bila di tambah imbuhan “me-kan”, seperti “s” (digantikan dengan “ny”) dan “k” (dengan “ng”) (Baskaran, 2003).

Derivasi ADJ adalah derivasi menggunakan imbuhan untuk membentuk ADJ dari kata akar KN atau KK. Contoh derivasi ADJ adalah:



Contoh 2.1.3 : Derivasi Adjektif

Kata Nama         Imbuhan Awalan             Adjektif
bingkai ber         berbingkai
bisa        ber         berbisa
kualiti    ber         berkualiti
pagar    ber         berpagar


Kata Kerja           Imbuhan Awalan             Adjektif
hias        ber         berhias
kenal     ter          terkenal


Data yang diperolehi menunjukkan bahawa dalam menukar kelas perkataan ADJ, hanya imbuhan awalan “ber” dan “ter” digunakan. Imbuhan “ber” membawa maksud ADJ berkenaan mempunyai ciri-ciri KN dan KK yang diderivasikan. Contohnya, ADJ “berbingkai” adalah sesuatu yang mempunyai bingkai. Imbuhan “ter” pula menunjukkan perbandingan superlatif paling.



2.2       Derivasi Tidak Bertukar Kelas Kata

Imbuhan bagi derivasi tidak bertukar kelas kata pula tidak menukarkan kelas perkataan sesuatu kata akar bertukar kepada kelas perkataan yang lain, tetapi menukarkan makna dan penggunaannya (Asha Doshi, 2004; Jackson dan Zé Amvela, 2000; Yule, 1994). Berikut adalah contoh derivasi tidak bertukar kelas kata:



Contoh 2.2.1 : Kata Nama

Kata Nama         Imbuhan             Kata Nama
rangkai -an         rangkaian
waris     -an         warisan
gaya      peng – an           penggayaan
cahaya  peng – an           pengcahayaan
tukang  per – an               pertukangan
rangka  ke-         kerangka
seni       ke – an kesenian


Data menunjukkan bahawa derivasi tidak bertukar kelas kata pada KN merangkumi imbuhan awalan “ke”, imbuhan akhiran “an” dan imbuhan apitan “peng-an”, “per-an” dan “ke-an”.



Contoh 2.2.2 : Kata Kerja

Kata Kerja           Imbuhan             Kata Kerja
ukir        men-     mengukir
selenggara         men-     menyelenggara
kenal pasti          men-     mengenalpasti
pandang              me-       memandang
adun     meng-  mengadun
himpun                di-          dihimpun
bina       di-          dibina
ukir        di-          diukir
palit       di-          dipalit
hias        -i             hiasi
hias        -kan       hiaskan
hias        di – i      dihiasi
hias        di – kan                dihiaskan
palit       di – kan                dipalitkan
adun     di – kan                diadunkan
tawar    me – kan             menawarkan
tampil   me – kan             menampilkan
serlah   me – kan             menyerlahkan
hias        meng – i              menghiasi
gugur    ber – an               berguguran


Bagi derivasi KK pula, kita dapati ianya adalah agak biasa dalam konteks tata hias dalam Bahasa Melayu, terutamanya dalam membentuk ayat aktif atau ayat pasif. Dapat diperhatikan bahawa imbuhan awalan “me”, “men”, dan imbuhan apitan “me-kan” akan menukarkan huruf pangkal kata akar “t” kepada “n”, “s” kepada “ny” dan “p” kepada “m”. Walau bagaimanapun, imbuhan yang lain-lainnya mengekalkan huruf pangkal kata akarnya.



Contoh 2.2.3 : Adjektif

Adjektif               Imbuhan             Adjektif
silap       ter-        tersilap
sasar     ter-        tersasar
hijau      meng-  menghijau


Derivasi tidak bertukar kelas kata pada ADJ menunjukkan penambahan imbuhan awalan sahaja, iaitu “ter” dan “meng”. Imbuhan “ter” membawa erti tidak sengaja, dan imbuhan “meng” menunjukkan bercirikan ADJ berkenaan, dalam kes ini warna hijau.



PENUTUP

Sebagai penutup, medan semantik tata hias banyak menyaksikan pembentukan perkataan melalui proses pemajmukan dan derivasi. Dalam proses pemajmukan, KN, KK dan ADJ boleh dimajmukkan antara satu sama lain dan kata akar yang pertama biasanya menentukan kelas kata majmuk berkenaan. Tetapi, terdapat juga kata majmuk di mana kata akar yang kedua menentukan kelas kata majmuknya. Walaupun agak jarang berlaku, pemajmukan KN, KK dan KB akan membentuk kata majmuk yang berlainan kelas perkataan dari kata akarnya. Dalam proses pembentukan perkataan melalui proses derivasi pula, imbuhan awalan, akhiran dan apitan adalah yang paling banyak digunakan dalam proses derivasi. Terdapat dua jenis derivasi, iaitu derivasi bertukar kelas kata dan tidak bertukar kelas kata